Monday 21 March 2011

Akhlak mulia asas peribadi unggul

Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:


Amanah

Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan. Firman Allah yang bermaksud, “Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertakwalah kepada Allah, Tuhannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 283)

Ikhlas

Ikhlas adalah inti setiap ibadat dan perbuatan. Firman Allah yang bermaksud, “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.”(Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayah. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim.” (Riwayat Imam al-Baihaqi)
Tekun

Islam menggalakkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud)

Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

Berdisiplin

Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu kerja akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi.

Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

Bersyukur

Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan, pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau banyak.

Kedua, bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan.


Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara.

Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” (Riwayat Abu Syeikh


((sila edarkan kepada kawan2 k...ini pon asal daari insan lain gak..ilmu or nasihat haruslah dikongsi bersama))

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...